Pengenalan
Kesenian dalam Islam mula tumbuh
setelah agama Islam mula berkembang dan bertapak. Umat Islam yang
berperang telah berkesempatan melihat dan mengenal kesan-kesan sejarah
dan kesenian yang terdapat di daerah-daerah baru. Ramai yang menetap dan
mengalami hidup dan suasana baru di tempat yang telah ditakluki. Dengan
itu Islam mula bertapak di daerah baru. Secara tidak disedari proses
asimilasi berlaku antara masyarakat, kebudayaan dan kesenian yang
berlandaskan ajaran Islam. Sebagai Addin, Islam telah membuka ruang yang
seluas-luasnya kepada para seniman untuk melahirkan pengucapan rasa
keindahan dan pengalaman yang lahir dari naluri asasi manusia yang
sememangnya mengarah ke arah keselamatan, kesenangan dan keindahan.
Seni adalah sebahagian daripada
kebudayaan. Konsep seni merujuk kepada bentuk-bentuk indah, halus dan
permai. Dari segi istilah, kesenian ialah segala aktiviti yang
berkaitan dengan seni yang menyenangkan hati serta perasaan manusia,
tidak kira sama ada ia adalah ciptaan Allah s.w.t ataupun dihasilkan
melalui fikiran, kemahiran, imaginasi dan perbuatan manusia.
Drs. Sidi Gazalba menerusi buku
Pandangan Islam Tentang Kesenian, menjelaskan bahawa seni adalah
sebahagian daripada kebudayaan yang dicetuskan oleh sesuatu kelompok
manusia kerana setiap kelompok manusia mempunyai fitrah semula jadi yang
cinta akan kesenian yang boleh memberi ketenangan kepada hati dan
fikiran. Oleh itu manusia dikatakan sebagai makhluk seni yang cintakan
sesuatu yang dapat memberi kepuasan hati melalui pancaindera rasa.
Konsep Kesenian Menurut Islam
Konsep kesenian menurut
perspektif Islam ialah membimbing manusia ke arah konsep tauhid dan
pengabadian diri kepada Alah s.w.t. Seni dibentuk untuk melahirkan
manusia yang benar-benar baik dan beradab. Motif seni bermatlamatkan
kebaikan dan berakhlak. Selain itu seni juga seharusnya lahir sebagai
satu proses pendidikan yang bersifat positif dan tidak lari dari
batas-batas syariat.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar